Pemakanan Yang Sihat: Sukarkah Untuk Mengamalkannya????–Bahagian Kedua(2)

| Written by Ahmad Zaim | Komen Anda

Pemakanan Yang Sihat: Sukarkah Untuk Mengamalkannya????–Bahagian Kedua(2)

Oleh: Ahmad Zaim Mat Pauzi                             Artikel(2.2):26.03.2011         

     Seperti yang saya janjikan pada artikel sebelum ini, saya akan mengupas tentang tips-tips bagaimana anda dapat mengamalkan cara pemakanan yang sihat. Dengan mengamalkan tips-tips pemakanan dalam artikel ini, anda boleh mencapai berat badan ideal anda dan apa yang paling penting, anda tidak akan berasa seperti anda sedang berdiet. Anda tidak perlu berlapar, menyekat diri anda dari menikmati makanan kegemaran anda (pastinya dalam jumlah yang sederhana!) atau membelanjakan wang yang banyak untuk pelbagai supplement/’meal replacement’ bagi mencapai berat badan ideal anda.

Kunci kepada pemakanan yang sihat adalah kepelbagaian, kesederhanaan dan keseimbangan makanan. Secara ringkasnya, ia bermaksud cara pemakanan yang melibatkan pelbagai makanan, tanpa menyebabkan pengambilan kalori yang terlalu tinggi atau pengambilan mana-mana nutrient secara berlebihan. Tips-tips dalam artikel ini akan membantu anda semua mengamalkan pemakanan yang sihat.

Bahagian Pertama(2): Tips-Tips Untuk Mengamalkan Pemakanan Sihat

1) Makan pelbagai makanan yang kaya dengan nutrient

Lebih 40 jenis nutrient diperlukan oleh tubuh anda untuk kesihatan yang bagus, dan tiada makanan tunggal yang mampu membekalkan kesemua nutrient tersebut. Pelbagaikan pilihan makanan anda dan ianya perlu merangkumi  bijirin dan makanan ‘whole-grain’, buah-buahan, sayur-sayuran, produk tenusu, daging, ikan dan lain-lain. Jumlah makanan yang anda perlukan bergantung kepada keperluan kalori anda. Gunakan Piramid Makanan dan fakta nutrisi pada label makanan sebagai panduan anda.

 

Kenali dan fahami label makanan anda!!

2) Nikmati makanan bijirin (terutamanya bijirin penuh), buah-buahan dan sayur-sayuran pada jumlah yang mencukupi

Tubuh anda memerlukan sehingga 6 hidangan makanan bijirin setiap hari. Ianya membekalkan tenaga, vitamin dan mineral yang penting untuk menperolehi tahap kesihatan yang baik.

Sekurang-kurangnya 3 hidangan sayur-sayuran dan 2 hidangan buah-buahan diperlukan oleh tubuh anda setiap hari. Ini akan membantu mengurangkan risiko penyakit kronik dan membantu pergerakan makanan dalam sistem penghadaman. Ianya membekalkan vitamin, mineral dan bahan-bahan lain yang juga penting untuk tahap kesihatan yang baik.

Kepada mereka yang tidak menyukai bijirin, sayur-sayuran atau buah-buahan, berilah makanan-makanan ini peluang. Gunakan buku-buku masakan yang ada di pasaran untuk menyediakan hidangan bijirin, buah-buahan dan sayur-sayuran yang sihat dan menepati citarasa anda.

 

           Jangan abaikan sayur-sayuran, buah-buahan dan bijirin dalam             pemakanan harian anda!

 

3)  Pastikan saiz hidangan anda sederhana

Jika anda boleh memastikan saiz setiap hidangan yang anda makan setiap hari sederhana, ianya akan menjadi lebih mudah untuk anda menikmati makanan yang anda gemari dan kekal sihat. Untuk menganggar saiz hidangan harian yang sesuai untuk anda, gunakan maklumat pada Piramid Makanan sebagai panduan.

4)  Makan pada waktu yang tetap dan jangan abaikan waktu makan anda

Mengabaikan waktu makan anda akan menyebabkan anda kelaparan dan ini menyebabkan anda cenderung untuk makan secara berlebihan. Apabila kita lapar, kita juga cenderung untuk lupa tentang cara pemakanan yang sihat dan lebih mengutamakan makanan kegemaran kita yang lazimnya adalah makanan yang tidak menyihatkan.

        Menjaga waktu makan anda akan membantu anda mengamalkan               cara pemakanan sihat!!

5)  Kurangkan, tetapi jangan ‘lenyapkan’ makanan-makanan tertentu

Kebanyakan individu makan sesuatu makanan itu adalah disebabkan keenakan rasanya. Tetapi pastikan jika makanan kegemaran anda tinggi kandungan gula, garam, atau lemak, anda perlu mengurangkan jumlah makanan tersebut dan kekerapan anda menikmati makanan tersebut. Dengan cara ini, anda boleh menikmati makanan kegemaran anda dan kekal sihat tetapi pastikan anda amalkan konsep ‘bersederhana’ ini.

Anda suka nasi lemak?? Saya pun sukakannya =)… tetapi pastikan anda bijak mengawal nafsu makan anda dan tidak memakannya secara berlebihan!

6)  Seimbangkan pilihan makanan anda

Bukan setiap hidangan yang kita makan perlu sempurna. Semasa anda sedang menikmati hidangan yang mempunyai makanan yang tinggi kandungan gula, garam atau lemak pastikan anda padankan makanan tersebut dengan makanan lain yang rendah kandungan gula, garam atau lemak. Jika anda kurang makan sayur-sayuran pada hari ini, pastikan anda tingkatkan pengambilan sayur-sayuran pada hari esok. Pilihan makanan anda dalam beberapa hari perlu seimbang dan lengkap bagi membentuk corak pemakanan yang sihat.

Pemakanan yang seimbang akan memudahkan anda memperolehi bentuk badan yang menarik dan tubuh badan yang sihat!

7)  Ketahui kekurangan cara pemakanan anda

Untuk menambah baik cara pemakanan anda, terlebih dahulu anda perlu mengetahui apa masalah sebenar pada cara pemakanan anda. Tuliskan semua makanan yang anda makan dalam 3 hari dan dengan berpandukan tip-tips yang diberi di dalam artikel ini, periksa senarai makanan tersebut untuk mengenalpasti masalah pemakanan anda yang sebenar. Adakah anda tidak mengambil sayur-sayuran atau buah-buahan yang mencukupi?? Jika jawapannya adalah tidak, kemungkinan besar anda kekurangan sebahagian nutrisi penting. Adakah anda terlalu banyak memakan makanan yang bergoreng ?? Jika jawapannya adalah ya, maka daripada melenyapkan terus makanan-makanan ini daripada pemakanan harian anda, adalah lebih baik anda mengurangkan pengambilannya sahaja.

Sebelum kita membaiki cara pemakanan kita, kenalpasti dahulu apakah masalah sebenar pada pemakanan kita!

8)  Lakukan perubahan secara perlahan-lahan

Jangan lakukan perubahan yang drastik dalam masa yang singkat pada cara pemakanan anda. Ini boleh menghalang kejayaan jangka masa panjang anda. Lakukan perubahan pada cara pemakanan anda secara perlahan-lahan dan mulakan dengan perubahan yang mudah seperti mengurangkan jumlah makanan yang berlebihan (contoh: makanan bergoreng) atau menambah jumlah makanan yang kurang (contoh: sayur-sayuran). 

Untuk mengubah cara pemakanan dengan berkesan, lakukannya dengan perlahan-lahan tetapi berterusan!

9)  Tiada makanan yang benar-benar teruk atau baik.

Anda perlu membuat pilihan makanan berdasarkan kepada corak pemakanan keseluruhan anda, bukannya berdasarkan kepada suatu makanan itu adalah baik atau teruk. Jangan rasa bersalah jika anda menggemari makanan seperti ais krim, kentang goreng, kek dan coklat. Anda hanya perlu mengamalkan konsep bersederhana dan pastikan pilihan makanan anda adalah seimbang dan pelbagai.

Amalkan konsep bersederhana ketika menikmati makanan kegemaran anda!!

*Kepada mereka yang mempunyai masalah-masalah kesihatan tertentu seperti diabetis dan alahan makanan, anda dinasihatkan untuk mendapatkan khidmat nasihat ahli dietetik bertauliah untuk mendapatkan panduan pemakanan yang sesuai dengan keadaan kesihatan anda.

Tujuan saya membincangkan tips-tips pemakanan dalam artikel ini adalah untuk memudahkan anda mengamalkan cara pemakanan yang sihat. Gunakan semua tips-tips dan maklumat yang boleh diperolehi di dalam artikel ini sebagai ‘tools’ untuk membantu anda mengamalkan cara pemakanan yang sihat. Dalam artikel saya yang terdahulu, sedikit-sebanyak saya telah mengupas mengenai maksud pemakanan yang sihat, dan dalam artikel ini pula saya telah mengupas mengenai tips-tips untuk memudahkan anda semua mengamalkan pemakanan yang sihat. Dengan bersenjatakan maklumat-maklumat yang anda perolehi dari kedua-dua artikel ini, saya berharap 'perjalanan' anda ke arah kehidupan yang yang lebih sihat dan baik akan menjadi lebih mudah.

     Sebelum saya mengakhiri Bahagian Kedua(2) artikel saya ini, sekali lagi saya ingin mengingatkan para pembaca yang ingin mengubah pemakanan mereka supaya sentiasa melakukan perubahan secara ‘slow and steady’ dan sentiasa fikirkan bagaimana anda dapat menjadikannya sebagai salah satu tabiat anda. Saya juga ingin meminta maaf kepada para pembaca semua kerana disebabkan faktor kesempitan masa, saya lewat berkongsi artikel Bahagian Kedua(2) ini dengan para pembaca semua. Sebagai akhir kata, saya menulis artikel ini adalah untuk para pembaca jadi sebarang pertanyaan, cadangan atau maklum balas dari para pembaca sangatlah dialu-alukan. Bantulah Saya Untuk Membantu Anda Semua Mendapatkan Tubuh Yang Sihat Dan Menarik=). Sekian, terima kasih.